Monday, March 15, 2010

** Sejarah Kampung Paris Kinabatangan

Posted by Cemang 9:05 PM, under | No comments


PROFIL RINGKAS



Nama Kinabatangan sebenarnya berasal daripada perkataan suku kaum Sungai iaitu ‘Cina batangan’ yang bererti ‘sungai cina’. Ini kerana berdasarkan sejarah daerah Kinabatangan, seorang pengembara daripada kerabat maharaja China yang bernama Ong Sung Peng telah memulakan pengembaraannya bermula dari tanah besar China hingga ke laut Sulu dan seterusnya sampai ke kawasan kuala sungai Kinabatangan pada kurun ke-16. Beliau kemudian telah membuka beberapa kawasan petempatan baru seperti Mumiang, Sukau dan Bilit (dipercayai berasal dari bahasa Cina). Walau bagaimanapun, kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo telah menukarkan nama tersebut kepada ‘Kinabatangan’ pada tahun 1881.
Kinabatangan merupakan salah satu daerah di negeri Sabah. Ianya berkeluasan 6,605 km persegi dan terdiri daripada 78 buah kampung (yang berada dalam kawasan DUN. 47 dan DUN. 48) serta bersempadan dengan enam buah daerah. Di bahagian utara ianya bersempadan dengan Sandakan dan Beluran dan di bahagian barat ianya bersempadan dengan Ranau dan Tongod. Manakala di bahagian selatan pula ianya bersempadan dengan Tawau dan Lahad Datu. Bentuk topografi bahagian bawah dan tengah Kinabatangan terdiri daripada lembah sungai. Di bahagian utara, sebelah Barat dan Selatan merupakan kawasan yang berbukit bukau dan curam. Manakala bahagian timur (pantai dan kuala sungai Kinabatangan) merupakan kawasan tanah rata dan mempunyai hutan paya bakau dan nipah. Sungai Kinabatangan merupakan sungai yang terpanjang di Sabah dengan kepanjangan 560 km dan mengalir ke arah Laut Sulu.
Menurut banci yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Sabah pada tahun 2000 (Banci Penduduk dan Perumahan Tahun 2000), jumlah penduduk di Kinabatangan adalah seramai 86,783 orang (50,394 lelaki dan 36,389 wanita). Suku kaum yang terbesar di daerah ini ialah suku kaum Sungai (satu istilah yang diberikan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai Kinabatangan yang terdiri daripada kelompok Idahan, Minokok, Mangkaak, Makiang, Rumanau, Sinabu dan Pingas). Selain itu, terdapat juga suku kaum lain seperti Tidong, Suluk, Kagayan dan Bugis (suku kaum yang berasal dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina). Lokasi Kinabatangan dapat dilihat seperti di Peta di bawah.



Sejarah Daerah Kinabatangan

Daerah Kinabatangan terletak di kawasan pantai timur Sabah, negeri di bawah bayu. Dengan keluasan lebih 600 ribu hektar, ia merupakan daerah terbesar di Malaysia menyamai keluasan negeri Pahang di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan laut timur dan barat silam menjadikannya singgahan kerajaan-kerajaan awal di Tanah Besar Asia.
Adalah dipercayai bahawa Laksamana Cheng Ho pernah menyusuri sungai Kinabatangan pada awal kurun ke 15, untuk memperolehi sarang burung yang mudah ditemui di Kinabatangan. Mengikut sumber "Buku Sejarah Tanah Air" pula, Kinabatangan pernah dikunjungi kerabat Maharaja China pada awal kurun ke 16. Beberapa tempat seperti Sukau, Bilit dan Mumiang dikatakan berasal dari Bahasa Cina.



Legenda Kinabatangan menyebut tentang sekumpulan orang Cina yang menyusuri kuala sungai menggunakan batang-batang kayu balak. Kosa kata ‘Cina’dan ‘Batang’ ini telah mencetuskan sebutan ‘Cinabatangan’ yang merupakan nama asal daerah ini. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah menggantikan sebutan ini kepada Kinabatangan.Sungai Kinabatangan yang mengalir sepanjang 560 km merupakan sungai yang terpanjang di Sabah. Sungai ini menjadi sumber rezeki utama suku kaum Sungai, suku kaum majoriti di daerah ini. Mereka turut mengenali Kinabatangan sebagai ’Tawoi Marato’ yang bermaksud ‘sungai yang panjang’ dalam bahasa Idahan.

Kaum Dusun yang tinggal di Ulu Kinabatangan mengenali Sungai Kinabatangan sebagai ’Sungai Millian’.Daerah Kinabatangan telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam sejarah kewujudannya. Menurut sumber tertentu, Kuala Kinabatangan mula berkembang selepas diduduki oleh kaum Sungai, Suluk dan Simunol sebelum 1881. Syarikat Berpiagam Borneo Utara secara rasminya menjadikan Kinabatangan sebagai daerah pentadbiran pada 1905. Pusat pentadbiran pada ketika itu adalah di Lamag. Pemindahan pusat pentadbiran ini ke Bukit Garam dan akhirnya ke pekan Kota Kinabatangan berlaku ekoran banjir yang sering melanda.
Pendudukan tentera Jepun sekitar tahun 1943 hingga 1945 menyaksikan perjuangan penentangan Sheikh Mutanna, seorang pedagang Arab yang bermastautin di Kuala Tongod. Beliau yang berketurunan Arab telah mengahwini wanita suku kaum Sungai. Sumber dari laman web hospital daerah Kinabatangan…


Sejarah Kampung Paris


Menurut sumber tempatan, asal usul Kampung Paris bermula pada tahun 1976. Pada asalnya kawasan ini merupakan kawasan Hutan Simpan Kelas 1 iaitu Hutan Simpan Koyah dan Hutan Simpan CJS Sundang yang terdapat di daerah Kinabatangan. Dalam tahun tersebut, Seramai 10 orang penduduk tempatan yang diketuai oleh Tuan Haji Tujoh (Ibrahim) Bin Silabi telah membentuk satu Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) bagi membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Sabah mengenai pembukaan kawasan penempatan baru untuk penduduk tempatan di kawasan tersebut. Berpandukan BUKU MERAH KAMPUNG NEGERI SABAH pada waktu itu, Jawatankuasa ini telah memulakan mesyuarat kali Pertama pada 23 April 1977.
Dengan keluasan sebanyak 3000 ekar (fasa 1) dan populasi penduduk hanya seramai 145 orang , JKK telah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pemerintah Kerajaan Negeri Sabah pada waktu itu untuk membuka penempatan baru yang di kenali sebagai Kampung Paris. Kampung Paris secara rasminya telah dibuka pada 15hb Jun 1977 dan telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Merangkap Pegawai Daerah pada masa itu iaitu Encik Mohd. Zinin, dengan kerjasama Pegawai Pembangunan Masyarakat N29 Sukau, En. Sairin Moyang.
Nama Kampung Paris adalah merupakan ilham daripada isteri Pengerusi JKK yang juga selaku pengasas kampung pada masa itu iaitu Puan Hajjah Itamah Bte. Otoh. PARIS kemudiannya telah diterjemahkan melalui singkatan daripada :-

huruf P : Perkampungan
huruf A : Anak
huruf R : Rakyat
huruf I : Islam
huruf S :Sabah

yang mana ianya membawa maksud bahawa Kampung ini didiami seramai 95% penduduk beragama islam dan selebihnya adalah daripada agama lain. Pada masa kini, pembangunan kg. Paris telah melalui fasa ke-3 dan Paris telah diikhtiraf menjadi 1 mukim dengan pertambahan 6 buah kampung menjadi 7 buah kampung kesemuanya.









Lokasi Pelancongan di Daerah Kinabatangan.



Sesuai dengan kekuatan daerah Kinabatangan sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian unsur biologi flora dan fauna, maka bidang pelancongan berasaskan alam semulajadi akan menjadi teras utama bagi pembangunan pelancongan di daerah ini. Untuk tujuan ini, beberapa kawasan dikenal pasti untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan di daerah ini iaitu:
· Kg.Abai
· Kg.Sukau
· Kg.Bilit
· Kg.Batu Puteh
· Kg.Kulamba
· Kg.Subak
· Pekan Bukit Garam
· Kg.Deramakot
· Kg.Sungai Lokan
· Kg.Sangau
· kg.Sungai Lokan

0 comments:

Post a Comment

Tags

Followers