Wednesday, July 21, 2010

Pekan Baru Sukau Kinabatangan bakal dilancarkan

Posted by Cemang 5:27 AM, under | No comments

KAMPUNG SUKAU, KINABATANGAN: Azam seorang wakil rakyat di sini untuk melihat kewujudan sebuah Pekan Baru Sukau semakin hampir jadi kenyataan apabila satu lawatan khas meninjau tapak melancarkan satu-satunya pusat pembangunan dan pentadbiran kawasan Dewan Undangan Negeri itu dilakukan pagi kelmarin.

Saddi Haji Abdul Rahman diiringi oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok, para anggota Jawatankuasa Pemandu Pekan Baru Sukau, pegawai kanan Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) dan kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Sukau.

Saddi adalah pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pekan Baru Sukau bersetuju dengan penyediaan sebahagian kecil daripada lebih 130 ekar tanah bagi projek itu dijadikan pusat Majlis Pecah Tanah Pekan Baru Sukau yang dijangka dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Majlis itu dijangka turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, para pemimpin negeri dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Sebelum itu, Saddi turut menyampaikan Surat Tauliah Gantian Tanah kepada para pemohon tanah asal (PT) di kawasan tanah asal sebagai majlis simbolik kepada lawatan lebih sejam ke tapak pelancaran pekan baru itu. Beliau gembira kerana 13 keluarga terlibat bersedia membatalkan permohonan tanah (PT) mereka dengan kerajaan menggantikan 10 ekar, tidak termasuk satu lot rumah di kawasan pekan itu.

“Kurang 50 hari dari sekarang, saya menjangkakan kita dapat menyaksikan aktiviti bersejarah di kawasan tapak cadangan pekan baru ini. Saya sendiri hanya membuat penilaian dari sudut kesesuaian cuaca dan keperluan-keperluan kecil. Jika apa yang kita rancangkan berjalan lancar, maka kita akan lakukan majlis ini di hadapan sekurang-kurangnya lebih 1,000 hadirin, khususnya rakyat di kawasan ini,” katanya kepada media di sini.

Saddi optimis akan kejayaan pelancaran itu yang bakal menjadi tulang belakang penting kepada pembangunan sosio ekonomi serta perkhidmatan rakyat di kawasan terlibat.

Beliau juga yakin kawasan pekan baru itu akan menjadi rujukan utama (koridor) kepada pelaburan masuk program-program pembangunan ekonomi rakyat di kawasan Dun Sukau, khususnya rakyat di kawasan kampung itu.

Saddi sendiri tidak menolak kemungkinan akan kesediaan pihak kerajaan negeri dan persekutuan memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi menjayakan pembinaan pekan baru itu.

Sebelum ini difahamkan, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pekan Baru Sukau mencadangkan pembinaan beberapa kemudahan di kawasan pekan itu melibatkan pejabat wakil-wakil kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, deretan bangunan kedai yang salah satu darinya dimajukan Perbandanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco), bangunan pusat ekonomi rakyat, balai polis, sekolah dan tidak terkecuali bank.

Kemudahan infrastruktur rakyat seperti kemudahan jalan raya, kemudahan telekomunikasi, elektrik dan taliair dan perparitan adalah sebahagian daripada pakej pembangunan itu.

“Kalau keperluan ini dapat kita tunaikan, maknanya kita sudah memenuhi sebahagian besar janji pilihan raya saya kepada rakyat di kawasan ini. Malah ini akan menceriakan lagi proses memenuhi Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Dalam lawatan ini, Saddi menggesa rakyat supaya terus memberikan kerjasama kepada rancangan pembangunan itu dan berdoa supaya apa yang mereka sama-sama impin di kawasan berkenaan selama ini akan menjadi kenyataan.

Seorang jurucakap Pejabat Daerah Kinabatangan di sini memberitahu, rancangan menjayakan majlis pelancaran pekan baru itu akan dilakukan dengan teliti agar ia impak besar kepada rancangan kerajaan menjayakan masa depan pembangunan di kawasan ini.

Pengerusi JKKK Kampung Sukau, Azahari Haji Ranggon berkata, beliau tidak sabar untuk menyaksikan detik-detik bersejarah melancarkan pekan baru itu sebagai satu ingatan abadi bermula episod masa depan pembangunan Dun Sukau.

0 comments:

Post a Comment

Tags

Followers